Pages

7 Sept 2016

Semporna - Daerah DUA Taman Marin!


1. Semporna ialah sebuah  daerah paling hujung dalam peta Sabah. Ia juga merupakan daerah muslim paling hujung di negara kita kerana bersebelahan dengannya ialah perairan Filipina dan Indonesia.

2. Untuk datang ke sini, anda perlu mendarat di Lapangan Terbang Tawau (TWU) dan dari sini anda akan  meneruskan perjalanan selama 1jam 20min untuk sampai ke pekan Semporna. 

3. Di kiri dan kanan sepanjang perjalanan, anda akan menyaksikan  ladang-ladang kelapa sawit sahaja. Oleh itu, tidurlah dan jika anda terbangun - pemandangan masih lagi kelapa sawit!

4. Namun yang  menariknya ialah Semporna dikelilingi oleh 49 buah pulau-pulau yang  terbahagi kepada 2 plak laut iaitu Laut Sulu dan Laut Celebes (Laut  Sulawesi). 

5. Disebabkan ini, ia BEBAS dari musim monsoon seperti yang dialami oleh pulau-pulau yang terletak di Laut China Selatan. 

6. Di daerah Semporna terdapat 2 TAMAN NEGARA. Oleh sebab ianya terletak di laut, maka kita panggil ia Taman Marin. 

7. Pertama - Taman Pulau Sipadan. Ada 3 pulau kesemuanya iaitu Sipadan, Mabul & Kapalai. 'Kapten' atau 'pusat' untuk taman marin ini ialah Pulau Mabul. Disini terdapat 21 buah resort yang beroperasi sepanjang tahun. 

8. Kedua - Taman Marin Tun Sakaran. Ianya merupakan taman  marin kedua terbesar di Malaysia. Ada 8 buah pulau disini dan paling dikenali ialah Pulau Bohey Dulang, Mantabuan & Sibuan. 

9.  Pendek kata - kehidupan di Semporna seolah-olah seperti dalam cerita  'Waterworld' atau 'Pirate of The Caribbean'. Anda dikelilingi air laut yang hampir-hampir tiada ombak! Anda bebas untuk berenang, snorkeling, hiking atau Scuba diving di sini.

10. Pulau Mabul, Sipadan &  Kapalai terletak BERSEBELAHAN dengan perairan antarabangsa INDONESIA.  Sebenarnya, sebaik kita memenangi tuntutan hak kedaulatan melalui ICJ pada 2002 - maka sejak itu Sipadan berada dalam peta Malaysia! Ya, sebelum ini Pulau Sipadan berada dalam peta Indonesia.

11. Pulau Mabul ini sangat unik. Ia dikenali sebagai 'The Muck Diving Heaven of  Malaysia' dan juga mendapat jolokan 'The Maldives of Malaysia'. Ianya  juga merupakan santuari penyu Malaysia dimana spesis Green Turtle & Hawksbill Turtle masih terpelihara sehingga kini. Oleh yang demikian, sambutan World Turtle Day peringkat negara biasanya disambut di Pulau Mabul pada bulan Mei & November setiap tahun.

12. Pulau Mabul juga merupakan hos untuk menjayakan pertandingan 'Miss Scuba International' pada setiap November dan acara ini ialah pecahan dari 'Miss Universe'.

13. Pulau Sipadan merupakan satu-satunya pulau laut dalam di Malaysia. Ianya berdiri di atas tiang setinggi 2,000 kaki dari dasar laut dan terpisah dari plak tanah besar Semporna. Jesteru, ianya menjadi sarang haiwan 'pelagic' yang besar-besar seperti jerung, penyu, barracuda, giant trevally, bumphead parrotfish dan ikan pari besar (manta ray).

14. Pulau Kalapai terkenal dengan spesis 'macro' yang unik dan ganjil. Sebenarnya inilah kelebihan Kapalai &  Mabul - ianya LAWAN kepada Sipadan! Kalau di Sipadan haiwannya besar, maka di Mabul & Kapalai pula haiwannya kecil, unik dan ganjil. 

15. Kesimpulannya Taman Pulau Sipadan (Mabul, Sipadan & Kapalai) ini ialah tempat untuk aktiviti snorkeling & diving yang ekstrem! TIADA jetski atau banana boat disini! Yang datang ke Pulau Mabul  hanyalah mereka yang menikmati aktiviti snorkeling & diving sahaja.


16. Kalau bercerita tentang Taman Marin Tun Sakaran pula - semestinya daya tarikan utama ialah Pulau Bohey Dulang!
 
17. Pulau Bohey Dulang merupakan santuari kima gergasi Malaysia. Disini juga anda boleh mendaki ke puncak setinggi 2,000 kaki dan menyaksikan pemandangan laut tercantik di Malaysia! Sebaik anda mendarat di jeti  Bohey Dulang, anda akan faham mengapa taman marin ini mendapat jolokan 'The Bora-Bora of Malaysia'! 

18. Mendaki ke puncak Bohey Dulang memang memenatkan! Namun sebaik tiba di puncaknya, segala kepenatan yang anda lalui tadi tiba-tiba lenyap & yang hadir ialah kepuasan dan pemandangan semacam lukisan dengan senggatan air biru-hijau yang disulami dengan susuk pulau-pulau yang berbalam!

19. Pulau Mantabuan pula mempunyai formasi taman karang yang unik kerana ia merupakan kesan peninggalan gunung berapi yang meletus kira-kira 2.5 juta tahun yang lalu. Bermakna, jika anda bersnorkeling di sini, anda akan menyaksikan suatu pemandangan 'coral garden' yang berbeza berbanding Pulau Mabul.

20. Pulau Sibuan - ahh... ini pulau yang sangat cantik! Dengan pasirnya yang putih, pohon-pohon kelapa yang  melambai, air hijau zamrud yang tidak berombak sepanjang tahun dan  ikan-ikannya yang jinak maka layaklah ia mendapat jolokan pulau tercantik di Taman Marin Tun Sakaran ini. Apabila anda berjalan  mengelilingi Sibuan, anda akan faham mengapa pada tahun lepas wujudnya isu pelancong asing yang ditangkap berbogel di pulau ini! Harap jika anda ke sini...jangan ulangi peristiwa ini ya!

21. Jadi, ada 2 taman marin. Masalahnya, anda nak pilih yang mana satu? Atau pilih kedua-duanya sekali? 

22. Walaubagaimanapun, kecantikan taman-taman marin di Semporna ini  telah mendapat liputan NEGATIF dari rakyat dalam negara kita sendiri. 

23. Bila bercakap pasal 'MABUL' sahaja - terus ramai orang akan  menasihati anda supaya JANGAN datang ke sini kerana masalah penculikan, lanun, Abu Sayyaf, militan, tebusan, tembak-menambak dan macam-macam  lagi!

24. Kadang-kadang walaupun saya menyatakan fakta logikal -  ianya tidak dipedulikan walaupun umum mengetahui yang kedua-dua taman marin ini dijaga 24jam oleh ESSCOM. 

25. Contohnya isu penculikan di daerah lain (jaraknya 5jam perjalanan darat dari sini) dimana 2 orang  tetamu sedang makan di sebuah restoran yang berhampiran dengan laut telah diculik oleh kumpulan ASG (Abu Sayyaf Group) pada tahun 2015. 

26. Disebabkan itu, media sosial dan khabar angin mengatakan yang KEJADIAN tersebut berlaku di Pulau Mabul! Padahal ianya berlaku di tempat lain dan BUKAN dalam daerah Semporna pun.

27. Isu gempa bumi di Gunung Kinabalu pun menyebabkan pelancong takut & menganggap Pulau Mabul yang dilanda gempa!

28. Kadang-kadang, terfikir juga saya - mengapa kerajaan Malaysia tak tutup sahaja kedua-dua taman marin di Semporna ini dan menghalang pelancong memasukinya? 

Iklan billboard besar di MRR2 dekat Ampang, Kuala Lumpur. Mustahil kerajaan Malaysia (melalui Kementerian Pelancongan) sanggup buang duit & promosi besar-besaran KALAULAH Pulau Mabul ni tak selamat! Kan? Betul tak?

29. Adakah Pulau Sipadan/Pulau Mabul baru sekarang pihak anggota keselamatan menjaganya?  

30. Saya tabik hormat kepada anggota ESSCOM! Mereka sebenarnya ialah wira yang mahukan anda menegur dan menyapa mereka walaupun sedang bertugas 24jam di kedua-dua taman marin ini. 

31. Ya, kepada sesiapa yang pernah datang ke sini, ANDA memang tahu keadaan keselamatan dan aman-damai yang sentiasa menceriakan pelancong-pelancong & menggamit supaya 'datanglah lagi' dalam tempoh yang terdekat.

32.  Kesian, kerana daerah Semporna yang merupakan penyimpan khazanah marin terbaik di negara kita dianggap seperti dalam perang Gaza atau Tebing Barat! 

33. Datanglah ke Semporna. Makanlah seafood dengan mewahnya. Sombonglah tatkala merakam foto & memuatkannya ke facebook atau instagram kerana hati anda akan DICULIK dan perasaan anda  meronta-ronta untuk nak datang lagi! 

34. Tiada perintah berkurung seperti perang Syria di sini. Yang ada hanyalah perintah MAKAN dan snorkeling/diving sepuas-puasnya!

35. Tinggalkan sahaja alamat email anda & kami akan menghantarkan sebutharga pakej percutian ke Semporna secepat mungkin!

P.s - Tanyalah kepada mereka yang pernah bercuti bersama kami tentang kedua-dua Taman Marin di sini.  Terima kasih & kepada anda yang pernah bersama kami - pada bulan Ogos atau September ini nantikan pakej seterusnya iaitu laluan Mataking/Pom-Pom/Pandanan pula!