Pages

3 Dec 2013

Sebutir Berlian Di Tengah Samudera: Inilah Pulau Sipadan!



Jikalau samudera itu sebentuk cincin, maka inilah permatanya. Terokai dunia diluar dugaan anda dan nikmatilah satu perjalanan yang mengagumkan dengan suasana percutian yang nyaman di sebuah pulau peranginan. Selamat datang ke Pulau Sipadan!

Demikian tadi sedikit kata-kata aluan dari video yang dipaparkan. Namun menjadi satu persoalan kepada kita semua, mengapa Pulau Sipadan digambarkan sedemikian dan apakah keistimewaannya sehingga menggamit pengunjung dari seluruh dunia?


Pulau Sipadan Dari Kacamata Jacques Cousteau.
 
"I've seen other places like Sipadan 45 years ago but now no more. Now we have found an untouched piece of art" - Jacques Yves Cousteau, 1989
Jacques Yves Cousteau ialah seorang lagenda dalam dunia marin. Beliau merupakan seorang saintis samudera, pereka terkenal, pengarah filem, jurufoto bawah laut, penulis buku dan 'guru' kepada seluruh penyelam di dunia. Dia juga merupakan seorang perintis dalam sains selaman skuba dan teknik konservasi marin. Dalam satu ayat - Jacques Cousteau ialah ikon bidang sains samudera yang tiada bandingan!

Jika tidak dengan penemuan beliau iaitu 'Aqua-Lung' mungkin kita semua tidak dapat merasai pengalaman selaman skuba yang moden dan selamat. Juga, jika beliau tidak datang ke Pulau Sipadan pada tahun 1988 untuk merakam filem (Borneo: The Ghost of the Sea Turtle, 1989) maka tidak mungkin Pulau Sipadan boleh menjadi terkenal seperti sekarang! Ya, beliaulah orang yang bertanggungjawab 'menjual' dan mempopularkan Sipadan sebagai salah satu dari sepuluh destinasi selaman terbaik dunia pada hari ini.

Dalam mana-mana media dan percetakkan sekalipun, kata-kata keramat Jacques Cousteau tentang Pulau Sipadan menjadi kayu aras (benchmark) untuk membezakan Sipadan dengan pulau-pulau lain di seluruh dunia. Walaupun beliau sudah meninggal dunia, tetapi legasi eksplorasi Sipadan masih diteruskan sehingga kini oleh cucu beliau iaitu Alexandra Cousteau.

Sejarah Pulau Sipadan

Sejarah dan Lokasi Pulau Sipadan.

Pulau Sipadan ialah satu-satunya pulau laut-dalam (oceanic island) di Malaysia yang muncul dari kedalaman 2000+ kaki (lebih 600 meter) dari lantai laut Sulawesi yang sekarang merupakan sempadan Malaysia-Indonesia (ICJ - 2002). Ada yang mengatakan yang perkataan 'sipadan' merujuk kepada 'sempadan' dalam lenggok bahasa moden, namun perkara yang sebenarnya ialah - 'Sipadan' diambil gelar dari matinya seorang penduduk tempatan yang bernama 'Paran'. Paran ditemui meninggal dunia di kawasan pantai pulau ini dan penduduk berteriak 'Si Paran sudah mati!'.

Jadi, perkataan yang betul dalam pertuturan Bahasa Bajau ialah 'Siparan' dan kemudiannya dikenali sebagai 'Sipadan'. Mungkin perkataan 'Sipadan' muncul akibat dari dialek Inggeris atau mungkin juga penduduk asal yang kononnya cuba mengajuk cakap Inggeris sehingga menjadi 'Sipadan'. Tetapi yang kita ketahui pada masa kini ialah; pulau ini diberi nama sebagai 'Sipadan' dan ianya telah menjadi milik Malaysia yang sah dan selaku simbol kedaulatan negara kita.

Pulau Sipadan terletak dalam daerah Semporna, berhampiran dengan daerah Tawau, Sabah. Untuk pergi ke Pulau Sipadan anda perlu mendarat di Lapangan Terbang Tawau dan kemudiannya bergerak dengan kenderaan menuju ke daerah Semporna dalam masa 1jam 20 minit.

Dari jeti-jeti pelancong di pekan Semporna, anda perlu menaiki bot dan perjalanan akan memakan masa lebih-kurang 1jam 15minit lagi. Biasanya pelancong tidak akan terus ke Pulau Sipadan, sebaliknya akan mendarat di Pulau Mabul kerana tidak ada walau sebuah resort pun yang beroperasi di Sipadan. Kesemua resort-resort peranginan telah diarahkan untuk berpindah ke Pulau Mabul sejak tahun 2005 lagi. Kini, pulau Sipadan hanyalah sebuah santuari marin yang ditadbir sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara dan Lembaga Taman-Taman Sabah.

Taman Negara Pulau Sipadan ialah 3 gugusan pulau yang berada berhampiran dengan Sipadan. Pulau-pulau tersebut ialah Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Sipadan. Kapalai terkenal dengan keadaan geografinya iaitu sebuah 'pulau yang telah tenggelam' dan diatasnya hanya didirikan satu resort mewah iaitu Kapalai Dive Resort manakala Pulau Mabul merupakan syurga 'Muck-diving' dunia yang menawarkan spesis macro-marin yang unik dan berwarna-warni.


Keistimewaan Pulau Sipadan.

Pulau Sipadan ialah sebuah gunung berapi mati dan apa yang anda lihat 'sebuah pulau' sebenarnya merupakan kon gunung berapi tersebut. Setelah mengalami evolusi beribu-ribu tahun, kini diatas pulau Sipadan terdapat hutan dan belukar yang agak padat dengan pohon-pohon kayu dan kelapa yang tinggi. Di bawah pulau Sipadan pula terdapat taman tergantung, dinding-dinding yang dipenuhi karang laut, gua bawah air, padang pasir dan terumbu karang yang padat. Disebabkan inilah laut Pulau Sipadan dipenuhi dengan haiwan-haiwan pelagic yang bersaiz gergasi, penyu-penyu yang bergerak bebas dan kesemua haiwan ini dapat anda saksikan berenang dalam kumpulan-kumpulan yang besar!

Walaupun sekarang ini tiada siapa pun yang dibenarkan untuk berlabuh dan menginap di Sipadan, tetapi kerajaan Malaysia mengeluarkan permit harian menyelam sebanyak 120 permit sehari untuk menikmati keindahan dasar lautnya. Apabila anda telah memiliki permit ini, anda boleh mendaftarkan diri di Jeti Pulau Sipadan (atas urusan keselamatan) dan kemudiannya terus menyelam di tapak-tapak selaman di sekeliling pulau ini. Satu ruang rehat besar beratap siap dengan meja dan kerusi disediakan diatas pantai untuk tujuan berehat, makan-minum dan taklimat selaman.


7 Daya Tarikan Pulau Sipadan.

1. Barracuda Point.
Tapak selaman ini baru sahaja dinobatkan sebagai yang terbaik di dunia oleh CNN (No #1 Dive Site in the world)! Disini penyelam akan menikmati pemandangan 'puting-beliung' ikan alu-alu yang bergerak dalam kumpulan ribuan ekor. Biasanya kumpulan alu-alu ini akan bertembung dengan satu lagi 'tornado' ikan putih (jackfish) atau mungkin Giant Trevally (ikan GT). Bayangkan anda ditengah-tengah pertembungan puting-beliung ini sambil diekori pula oleh 4-5 ekor ikan jerung yang sedang menunggu peluang untuk mengejar ikan-ikan yang tercicir dari kumpulannya, hebat bukan?

2. Penyu Hawksbil dan Green, juga Tapak Penetasan Penyu.
Tiada tempat lain di dunia yang boleh anda jumpai lebih 20 ekor penyu dalam satu kali selaman. Perkara ajaib ini hanya boleh anda nikmati di bawah laut Sipadan. Pengalaman berenang bersama penyu yang jinak dan kadang-kala dapat anda saksikan mereka 'bermesra' memang satu peluang yang sukar dilepaskan. Jangan risau kerana penyu-penyu ini sudah biasa dengan kehadiran penyelam. Yang penting jangan terkejut dan terlalu teruja takut-takut nanti anda kehabisan oksigen!

3. Ikan Jerung.
Ada banyak spesis ikan jerung di sini. Antaranya White Tip Shark, Black Tip Shark, Hammerhead Shark, Whale Shark, Nurse Shark dan ikan-ikan jerung karang yang kecil. Ramai yang salah faham tentang jerung, mereka sebenarnya jinak dan lebih takutkan manusia (kerana perniagaan 'shark-fin' yang berleluasa). Tetapi sekiranya anda sedang luka dan bertemu pula dengan 4-5 ekor jerung yang lapar, jangan salahkan saya kalau mereka mengejar anda!

4. Gua Penyu / Turtle Tomb.
Gua batu kapur di bawah laut? Tidakkah itu mengujakan anda? Gua Penyu atau Turtle Tomb merupakan satu sistem gua yang mempunyai banyak bilik, ruang renang yang panjang (tunnels) dan dihiasi dengan bangkai-bangkai penyu yang mati disebabkan tersesat dan tidak menemui jalan keluar. Perlu dinyatakan selaku amaran, anda mestilah bertahap 'dive master' untuk menyelam di Turtle Tomb kerana memang pernah berlaku kemalangan jiwa di sini. Satu papantanda amaran besar 'beware' menanti anda di pintu masuk gua ini. 

5. Ikan-Ikan Pelagic Yang Bersaiz Gergasi.
Manta Ray merupakan sejenis ikan pari sebesar pintu pagar. Giant Grouper pula ialah ikan keratang yang bersaiz sebesar meja makan, kadang-kadang bersaiz sebuah motorsikal. Ada kalanya anda mungkin terserempak dengan ikan pari bintik Eagle Ray yang panjangnya boleh mencecah 20 kaki. Yang penting jangan terlanggar dengan kumpulan Bumphead Parrotfish yang rata-ratanya mempunyai berat sehingga 40kg seekor! Terserempak dengan puting-beliung Big-Eye Trevally yang rata-ratanya sebesar pintu kereta seekor? Itu perkara biasa. Cuma jangan panik dan berenanglah seperti biasa.

6.  The Hanging Garden.
Taman tergantung yang dipenuhi dengan 'sea fans', pelbagai karang-laut yang berwarna-warni dan dihiasi oleh ikan-ikan karang termasuk udang kara (lobster) dan udang mantis. Ia merupakan satu tapak selaman yang digelar 'studio fotografi' kerana disinilah berkumpulnya jurufoto dasar laut yang ramai dalam satu masa. Dengan kedalaman yang baik (antara 16-131 kaki) dengan dinding yang curam, Hanging Garden akan memberikan kepuasan kepada anda!

7. Lebih 3000 Spesis Ikan dan Ratusan Jenis Karang Laut.
Dari sekecil-kecil ikan (atau sotong) hingga ke sebesar kereta, hidupan marin yang pelbagai di laut Pulau Sipadan menjanjikan pengalaman indah untuk anda yang sukakan aktiviti menyelam. Lebih dari itu, anda akan menyaksikan spesis-spesis haiwan yang berlainan dalam setiap kali selaman. Jika dalam selaman yang pertama anda bertemu dengan penyu, maka selaman yang ke 20 mungkin anda akan bertemu dengan sotong 'flamboyant cuttlefish' atau 'blue ring octopus'. Sehingga kini, saintis masih lagi mendokumentasikan hidupan marin di sini. Dalam satu kejadian baru-baru ini, beberapa jeruselam terserempak dengan ikan 'mola-mola' atau 'sunfish' sewaktu sedang menyelam di Sipadan! Mengapa haiwan-haiwan ini kelihatan di Sipadan? Kerana banyaknya makanan (plankton) dan dasar lautnya yang mencecah sehingga 2000 kaki.


Bagaimana Untuk Menyelam Di Sipadan?

Mudah sahaja. Dari destinasi anda (contohnya Kuala Lumpur) sila terbang terus ke Tawau (penerbangan mengambil masa 3 jam). Tiada dokumen lain yang diperlukan kecuali kad pengenalan sekiranya anda seorang warganegara Malaysia. Sebaik tiba di lapangan terbang Tawau, perjalanan untuk ke Pulau Mabul dan Pulau Sipadan akan diuruskan oleh operator-operator pelancongan tempatan contohnya Sipadanborneo.com

Apabila anda berada di Pulau Mabul, jarak perjalanan bot ke Pulau Sipadan hanya mengambil masa 20-25minit sahaja bergantung kepada keadaan cuaca, air laut dan jenis bot. Kebanyakkan resort percutian di Pulau Mabul mengenakan cas bermalam termasuk makan-minum harian per-kepala (per pax). Sipadanborneo.com mengenakan harga cuma RM95 sehari untuk bilik, minum pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam termasuk kemudahan kopi dan teh 24 jam.

Bot untuk ke Pulau Sipadan biasanya akan berlepas seawal jam 7 pagi dan anda juga boleh memohon untuk sessi menyelam malam (night dive) ke Pulau Sipadan. Sebagai langkah keselamatan, anda dinasihatkan untuk membawa bukti ikhtisas (lesen menyelam) yang diiktiraf dunia dan perkakasan selaman peribadi anda sendiri seperti camera GoPro, 'dive computer', 'mask' dan 'snorkel'. Walaubagaimanapun, kesemua resort peranginan (dan backpackers) menyediakan 'dive shop' yang lengkap dengan perkakasan menyelam termasuk menyediakan sewaan kamera dasar laut untuk anda.

Beberapa tapak selaman skuba di Pulau Sipadan adalah sesuai untuk lesen #1 OW (Open Water) manakala selebihnya memerlukan AOW (Advance Open Water) level ke #2 untuk menyelam. Hanya satu tapak sahaja yang memerlukan lesen 'Dive Master' iaitu di Turtle Tomb.

Kepada sesiapa yang hanya mahu mencuba snorkeling di Pulau Sipadan, saya nasihatkan tidak perlulah untuk ke sana kerana 80% daya tarikannya berada pada kedalaman 6 - 130 kaki. Tempat snorkeling terbaik ialah di Pulau Mabul dengan ikan-ikan yang berwarna-warni dan unik.

Tips terbaik untuk anda memulakan langkah pertama sebagai penyelam professional ialah:
  1. Mulakan pengalaman anda dengan bersnorkeling sekurang-kurangnya 4 kali di Pulau Mabul dan Kapalai.
  2. Cuba bersnorkeling tanpa bantuan lifejacket dan memakai pakaian wetsuit lengkap dengan fin.
  3. Mencuba pakej DSD (discover scuba diving) sekurang-kurangnya 2x selaman di Pulau Mabul.
  4. Mengambil kursus PADI Open Water Level #1 di Sipadanborneo.com (3 hari kursus penuh) dan berusaha untuk lulus!
Selamat datang ke Pulau Sipadan, selamat menerokai dunia dasar laut yang penuh misteri!

Maklumat lanjut tentang Pulau Sipadan:
1. Diving in Sipadan - Sipadanborneo.com
2. Sipadan Weather - Sipadanborneo.com
3. History Of Sipadan - Sipadanborneo.com
4. Diving Courses - Sipadanborneo.com

No comments:

Post a Comment