Pages

10 Oct 2014

Kenapa Kalau Dah Start Snorkeling Mesti Taknak Keluar Dari Air?


"Segalanya terasa sangat asing untuk saya, pertamanya tidak boleh bernafas dengan hidung, kena melalui mulut. Gigi pula menggigit snorkel dan tak boleh dilepaskan. Memang kekok! Kemudian, terpaksa memberanikan diri berenang sambil menangkupkan muka ke dalam air. Serentak dengan itu dada berdegup kencang dan kepala memikirkan 'bolehkah saya bernafas dengan mulut?' 'Tenggelamkah saya tak lama lagi?' 'Macamana kalau air masuk ke saluran snorkel?' dan macam-macam persoalan lagi. Keadaan agak mengelirukan. Perasaan bercampur-baur antara takut lemas, berani-berani kucing dan tawakkal. Ya, kalau tidak saya mulakan, bila lagi?

Dengan menarik satu nafas yang panjang, saya terus terjun dari bot ke dalam air laut. Tapak yang dipilih oleh Abang Adli pada waktu itu ialah Paradise II di Pulau Mabul. Beliau mengingatkan saya supaya jangan panik, percaya kepada diri sendiri, fokus kepada seekor ikan dan bernafaslah dengan tenang. "Ingat ya... tuan tidak akan tenggelam kerana ada lifejacket. Jangan risau, saya ada disebelah tuan" katanya lagi sebelum saya diizinkan untuk turun ke Paradise II.

Dalam 2 minit yang pertama, dada saya terasa sesak, menarik nafas melalui mulut agak menyulitkan. Badan, tangan dan kaki saya bergerak-gerak - cuba untuk menstabilkan diri di dalam air. Saya teringat petua yang diberikan oleh Abang Adli. "Badan kena lurus dalam air ya tuan.. macam Superman!" dan saya akhirnya dapat bernafas lega melalui mulut.

Memang pelik! Nafas terasa lapang! Ya.. sangat lapang dan sedap! Badan terasa ringan dan Subhanallah! Cantiknya ciptaan Allah di Paradise II ini!

Entah kenapa perasaan takut air masuk ke dalam 'mask' tadi tiba-tiba hilang! Mula-mula saya berikan tumpuan kepada seekor ikan. Warnanya 'silver' dan ada garis-garis kuning dan hitam pada badannya. Tak lama kemudian saya dapat memerhatikan ikan-ikan lain di sekelilingnya. Masyaallah! Bukan seekor rupanya ikan belang-belang ini! Banyak dan... wah! Ada juga ikan lain yang berwarna merah, biru dan kuning! Besarnya coral! Cantiknya coral-coral dibawah laut ini. Ikan panjang berwarna kuning macam tengah tiup trumpet tu apa ya? Apa pulak nama ikan-ikan yang bergulung dalam dua ratus ekor di bawah jetti ini? Warnanya merah berbelang-belang putih. Ekornya kuning.

Saya terasa sangat hairan. Sibuk betul saya memerhatikan keindahan alam sekeliling. Kalau dulu saya suka tengok akuarium, kini saya berada dalam akuarium yang asli! Macam National Geographic.. tidak.. lebih kepada Discovery Channel!

Saya terus berenang lagi. Kali ini saya memerhatikan sebuah coral merah yang sangat besar. Bentuknya seperti otak manusia. Disekelilingnya terdapat banyak ikan biru yang sirip & ekornya seperti wau bulan. Ada juga ikan 'nemo' dan 'dory' macam dalam cerita kartun tu.

Tiba-tiba saya nampak ada satu jari menuding disebelah kanan saya ke satu arah. Saya cuba memerhatikannya.. dan.. wah! Seekor penyu! Penyu bang! Dekat betul dengan saya! Saya terus mengejar penyu tersebut. Tetapi ia jauh lebih pantas dari saya. Kemudian sekumpulan ikan bilis kecil dalam 2-3 ratus ekor melintas betul-betul dihadapan muka saya! Ya Allah! Cantiknya!

Tiba-tiba ada orang menarik saya dari belakang. Saya luruskan badan & toleh ke belakang.

"Tuan, dah satu jam kita dalam air nih. Tuan berenang terus ke bot ya. Saya nak buat headcount. Kita balik ke resort untuk makan tengahari." Dalam hati saya takkan dah satu jam? Cepat betul? Aduhhh maakkk. Saya tengah 'syok' nih. Banyak lagi benda yang saya nak tengok!

"Jangan risau ya tuan, petang ni jam 2.00 petang kita snorkeling lagi. Nanti tuan boleh bagi makan ikan kat The House Reef, Mabul Water Bungalow"

Terus-terang saya geram! Kerana ada banyak lagi yang saya belum tengok dalam air ni. Saya taknak keluar dari air ni! Tapi, apakan daya. Saya terpaksa akur kerana memang terasa penat dan perut sudah lapar. Saya naik ke bot dengan perasaan masih terhoyong-hayang. Nasib baik tak muntah! Saya tersenyum sendiri. Puas tetapi nak lagi! Dan petang ini saya mesti bagi ikan-ikan ni makan dari tapak tangan saya! Kini saya faham mengapa Abang Adli beria-ia menyuruh saya datang ke Pulau Mabul tempohari di Whatsapp dan email. "70% ciptaan Allah ada di dalam air tuan. Kalau ke Pulau Mabul tak snorkeling memang rugi!" dan saya sangat-sangat menyokong kata-kata beliau itu!"

- Nazim Fitri bin Idrus, pelancong Pakej SELAM2, Januari 2014.


Snorkeling Di Pulau Mabul

Snorkeling dan Diving merupakan aktiviti riadah yang kurang dinikmati oleh orang melayu. Biasanya, orang Eropah lebih dominan dalam kedua-dua aktiviti ini dan mereka cukup pandai memilih lokasi. Faktor bahasa dalam penerbitan (English) merupakan sebab mengapa aktiviti ini dikuasai oleh bangsa Eropah selain dari hobi mereka yang suka menjelajah dunia. 

Apa Itu Snorkeling?

Snorkeling ialah satu praktis berenang dipermukaan air dibantu dengan 'diving mask', 'snorkel', 'lifejacket' dan kadang-kadang dengan sepasang 'booties' atau 'fins'. Jika anda bersnorkeling di kawasan yang airnya sejuk, 'wetsuit' perlu anda pakai untuk mengekalkan suhu badan. Dengan adanya peralatan-peralatan ini, anda boleh 'melihat' dunia bawah air dengan tenang dan selamat. Aktiviti rekreasi snorkeling sinonim dengan kawasan beriklim khatulistiwa (tropical) dimana kepelbagaian dan jenis-jenis hidupan marin dasar lautnya sangat padat & berwarna-warni dengan jarak penglihatan (penembusan cahaya matahari) sehingga 60 kaki.

Di negara kita Malaysia, anda sangat bertuah kerana Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Sipadan berada berhampiran antara satu sama lain dan sangat-sangat memberikan kepuasan kepada penggemar aktiviti ini. Walaupun nama-nama pulau ini kelihatan 'asing' dengan anda, tetapi 'Mabul' dan 'Sipadan' sebenarnya diiktiraf antara 10 tempat tercantik di dunia untuk bersnorkeling dan selalu muncul dalam jurnal-jurnal, dokumentari, buku-buku rujukan menyelam dunia, majalah dan laman-laman web terkemuka.

Pulau Mabul terletak berhampiran dengan sempadan antarabangsa Malaysia-Indonesia dalam daerah Semporna, Sabah. Disebelah kirinya ialah Pulau Kapalai dan disebelah kanannya pula terletak Pulau Sipadan. Jarak Pulau Mabul dari jetty awam Semporna ialah antara 45minit - 1jam bergantung dengan jenis bot yang anda sewa.

Sukarkah Untuk Menikmati Aktiviti Snorkeling?

Banyak tanggapan mengatakan yang snorkeling ini susah, leceh, penat dan merbahaya. Namun pandangan yang paling popular ialah 'anda mesti terlebih dahulu pandai berenang sebelum mencuba aktiviti snorkeling'. Benarkah semua pandangan ini? Atau ianya cuma satu alasan yang sengaja diciptakan?

Berikut merupakan sedikit tips kepada mereka yang ingin mencuba snorkeling:

1. Katakunci (keyword) untuk menikmati aktiviti snorkeling ialah TENANG! Sekiranya anda tidak tenang apabila berada di permukaan air (lebih-lebih lagi laut yang bergelora) maka anda tidak akan dapat menikmatinya.

2. Snorkeling merupakan aktiviti yang SELAMAT kerana anda terapung di permukaan air dibantu dengan 'lifejacket'! Sedikit info untuk anda: Orang yang gemuk (macam saya, 110Kg) sebenarnya lebih mudah terapung berbanding orang yang kurus!

3. Pilih 'snorkel' dan 'mask' yang SELESA! Cuba pakai kedua-duanya terlebih dahulu (di bilik atau resort) sebelum anda terjun ke laut. Pastikan apabila anda selesai menekap muka dengan 'mask', anda BOLEH bernafas melalui mulut dan 'snorkel'.

4. Gunakan 'booties' jika bersnorkel di kawasan cetek yang boleh dicapai oleh kaki anda. Ini penting untuk mengelakkan anda terpijak haiwan-haiwan merbahaya seperti landak laut dan tapak sulaiman.

5. Jangan PANIK sekiranya bot memberhentikan anda di kawasan yang kedalamannya 30 kaki. Sebaiknya cuba turun menggunakan tangga dan YAKINlah yang anda akan terapung (kerana anda telah memakai lifejacket!).

6. Sebaik tiba di permukaan laut, cuba masukkan muka ke dalam air dan bernafaslah dengan snorkel. Pastikan tiada air masuk ke dalam mask dan kuasai tekanan air sebaik anda mula bernafas. Biasanya anda akan menghadapi saat sukar dalam 1-2 minit yang pertama kerana sistem pernafasan anda akan terasa 'berat' disebabkan tekanan air di permukaan. Sekali lagi, pada waktu ini, JANGAN PANIK kerana tubuh anda secara automatik akan 'refleks' terhadap situasi panik ini. Anda akan menggelupur dan inilah sebabnya mengapa snorkeling menjadi pengalaman yang buruk kepada sesetengah orang.

7. Setelah anda bertenang dan boleh bernafas, luruskan badan sepenuhnya dan berenanglah dengan tenang. Tumpukan perhatian kepada seekor ikan atau batu karang untuk mengelakkan perasaan 'mabuk' atau 'pening'. Latihan tumpuan adalah sangat penting kerana ia sangat membantu anda untuk melihat secara semulajadi keindahan dasar laut dan haiwan-haiwan marin yang seterusnya. Apabila anda telah berjaya menumpukan pandangan, maka anda akan menyaksikan berpuluh-puluh ikan yang seterusnya!

8. Kemudian gerakkan kaki dan tangan anda untuk berenang dan pergi ke tempat-tempat yang lebih jauh. Jangan tidak percaya sekiranya saya mengatakan yang anda mampu berenang sejauh lebih 200 meter dalam tempoh 30 minit tanpa sedar sekiranya anda berjaya snorkeling dengan jayanya!

9. Akhir sekali, percayalah jika sebelum ini anda tidak tahu berenang, tidak semestinya anda tidak boleh snorkeling! Ramai pakar snorkeling di dunia sebenarnya tidak tahu berenang dan hanya meraih keyakinan untuk melakukannya setelah beberapa kali snorkeling!

Pulau Mabul menjanjikan pengalaman untuk bertemu penyu, lionfish, jackfish, barracuda, clownfish, pelbagai warna nudibranchs, sweetlips, kerapu besar (keratang/kertang), bannerfish, batfish, frogfish, crocodile-fish, parrotfish, triggerfish dan lain-lain. Pendek kata dalam setiap selaman, anda boleh menyaksikan lebih 100 jenis spesis hidupan marin jika anda memberikan tumpuan sepenuhnya!

Kejernihan air di Pulau Mabul sememangnya tiada tandingan. Anda boleh menyaksikan pelbagai ikan (dan kadang-kadang penyu!) bermain-main di permukaan air dari atas jeti atau platform dari mana-mana resort di sini.

Sebagai nilai tambah, disarankan anda membawa sepotong roti semasa snorkeling dan jangan terkejut apabila sekawan ikan berwarna-warni datang dan makan roti tersebut di atas tangan anda!

Inilah keistimewaan Mabul. Spesis yang pelbagai, resort-resort terapung yang mewah, air yang jernih dan ikan-ikan yang jinak.

Tertelan air semasa snorkeling? Itu perkara biasa untuk permulaan menjelajah dunia di bawah air ciptaan Allah untuk kita semua!

Selamat menikmati riadah snorkeling, Selamat datang ke Pulau Mabul, Selamat bercuti dan jangan lupa memilih kami sebagai operator percutian anda di Pulau Mabul, Sabah, Malaysia!

Nak tau bagaimana anda boleh ke Pulau Mabul dengan pekej yang bajet? Klik sini: http://sipadan-mabul.blogspot.com atau hubungi whatsapp saya di 016.827.0972