Pages

20 Nov 2013

Sukarkah Untuk Menikmati Aktiviti Snorkeling?


Snorkeling Di Pulau Mabul

Snorkeling dan Diving merupakan aktiviti riadah yang kurang dinikmati oleh orang melayu. Biasanya, orang Eropah lebih dominan dalam kedua-dua aktiviti ini dan mereka cukup pandai memilih lokasi. Faktor bahasa dalam penerbitan (English) merupakan sebab mengapa aktiviti ini dikuasai oleh bangsa Eropah selain dari hobi mereka yang suka menjelajah dunia.

Apa Itu Snorkeling?

Snorkeling ialah satu praktis berenang dipermukaan air dibantu dengan 'diving mask', 'snorkel', 'lifejacket' dan kadang-kadang dengan sepasang 'booties' atau 'fins'. Jika anda bersnorkeling di kawasan yang airnya sejuk, 'wetsuit' perlu anda pakai untuk mengekalkan suhu badan. Dengan adanya peralatan-peralatan ini, anda boleh 'melihat' dunia bawah air dengan tenang dan selamat.

Aktiviti rekreasi snorkeling sinonim dengan kawasan beriklim khatulistiwa (tropical) dimana kepelbagaian dan jenis-jenis hidupan marin dasar lautnya sangat padat & berwarna-warni dengan jarak penglihatan (penembusan cahaya matahari) sehingga 60 kaki.

Di negara kita Malaysia, anda sangat bertuah kerana Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Sipadan berada berhampiran antara satu sama lain dan sangat-sangat memberikan kepuasan kepada penggemar aktiviti ini. Walaupun nama-nama pulau ini kelihatan 'asing' dengan anda, tetapi 'Mabul' dan 'Sipadan' sebenarnya diiktiraf antara 10 tempat tercantik di dunia untuk bersnorkeling dan selalu muncul dalam jurnal-jurnal, dokumentari, buku-buku rujukan menyelam dunia, majalah dan laman-laman web terkemuka.

Pulau Mabul terletak berhampiran dengan sempadan antarabangsa Malaysia-Indonesia dalam daerah Semporna, Sabah. Disebelah kirinya ialah Pulau Kapalai (dalam 15minit perjalanan bot) dan disebelah kanannya pula terletak Pulau Sipadan (dalam 25minit perjalanan bot). Jarak Pulau Mabul dari jetty awam Semporna ialah antara 45minit - 1jam bergantung dengan jenis bot yang anda sewa.



Sukarkah Untuk Menikmati Aktiviti Snorkeling?

Banyak tanggapan mengatakan yang snorkeling ini susah, leceh, penat dan merbahaya. Namun pandangan yang paling popular ialah 'anda mesti terlebih dahulu pandai berenang sebelum mencuba aktiviti snorkeling'. Benarkah semua pandangan ini? Atau ianya cuma satu alasan yang sengaja diciptakan?

Berikut merupakan sedikit tips kepada mereka yang ingin mencuba snorkeling:

1. Katakunci (keyword) untuk menikmati aktiviti snorkeling ialah TENANG! Sekiranya anda tidak tenang apabila berada di permukaan air (lebih-lebih lagi laut yang bergelora) maka anda tidak akan dapat menikmatinya.

2. Snorkeling merupakan aktiviti yang SELAMAT kerana anda terapung di permukaan air dibantu dengan 'lifejacket'! Sedikit info untuk anda: Orang yang gemuk (macam saya, 110Kg) sebenarnya lebih mudah terapung berbanding orang yang kurus!

3. Pilih 'snorkel' dan 'mask' yang SELESA! Cuba pakai kedua-duanya terlebih dahulu (di bilik atau resort) sebelum anda terjun ke laut. Pastikan apabila anda selesai menekap muka dengan 'mask', anda BOLEH bernafas melalui mulut dan 'snorkel'.

4. Gunakan 'booties' jika bersnorkel di kawasan cetek yang boleh dicapai oleh kaki anda. Ini penting untuk mengelakkan anda terpijak haiwan-haiwan merbahaya seperti landak laut dan tapak sulaiman.

5. Jangan PANIK sekiranya bot memberhentikan anda di kawasan yang kedalamannya 30 kaki. Sebaiknya cuba turun menggunakan tangga dan YAKINlah yang anda akan terapung (kerana anda telah memakai lifejacket!).

6. Sebaik tiba di permukaan, cuba masukkan muka ke dalam air dan bernafaslah dengan snorkel. Pastikan tiada air masuk ke dalam mask dan kuasai tekanan air sebaik anda mula bernafas. Biasanya anda akan menghadapi saat sukar dalam 1-2 minit yang pertama kerana sistem pernafasan anda akan terasa 'berat' disebabkan tekanan air di permukaan. Sekali lagi, pada waktu ini, JANGAN PANIK kerana tubuh anda secara automatik akan 'refleks' terhadap situasi panik ini. Anda akan menggelupur dan inilah sebabnya mengapa snorkeling menjadi pengalaman yang buruk kepada sesetengah orang.

7. Setelah anda bertenang dan boleh bernafas, luruskan badan sepenuhnya dan berenanglah dengan tenang. Tumpukan perhatian kepada seekor ikan atau batu karang untuk mengelakkan perasaan 'mabuk' atau 'pening'. Latihan tumpuan adalah sangat penting kerana ia sangat membantu anda untuk melihat secara semulajadi keindahan dasar laut dan haiwan-haiwan marin yang seterusnya. Apabila anda telah berjaya menumpukan pandangan, maka anda akan menyaksikan berpuluh-puluh ikan yang seterusnya!

8. Kemudian gerakkan kaki dan tangan anda untuk berenang dan pergi ke tempat-tempat yang lebih jauh. Jangan tidak percaya sekiranya saya mengatakan yang anda mampu berenang sejauh lebih 200 meter dalam tempoh 30 minit tanpa sedar sekiranya anda berjaya snorkeling dengan jayanya!

9. Akhir sekali, percayalah jika sebelum ini anda tidak tahu berenang, tidak semestinya anda tidak boleh snorkeling! Ramai pakar snorkeling di dunia sebenarnya tidak tahu berenang dan hanya meraih keyakinan untuk melakukannya setelah beberapa kali snorkeling!


Bersnorkeling Di Pulau Mabul.

Pulau Mabul terkenal dengan jolokan 'The Best Muck-Diving Site Of The World'. Kebarangkalian untuk anda melihat puluhan malah ratusan ikan-ikan marin adalah 100% setiap kali selaman disepanjang tahun, tanpa musim tengkujuh (atau monsoon!)

Ada rakan-rakan yang memberikan saranan supaya memilih Pulau Mabul sebagai destinasi terakhir untuk snorkeling di Malaysia untuk mengelakkan rasa kecewa terhadap lain-lain destinasi.

Pada saya, setiap tempat ada keistimewaanya tersendiri bergantung kepada jenis-jenis hidupan marin, bentuk muka bumi dan kejernihan air.

Pulau Mabul menjanjikan pengalaman untuk bertemu penyu, lionfish, jackfish, barracuda, clownfish, pelbagai warna nudibranchs, sweetlips, kerapu besar (keratang/kertang), bannerfish, batfish, frogfish, crocodile-fish, parrotfish, triggerfish dan lain-lain. Pendek kata dalam setiap selaman, anda boleh menyaksikan lebih 100 jenis spesis hidupan marin jika anda memberikan tumpuan sepenuhnya!

Kejernihan air di Pulau Mabul sememangnya tiada tandingan. Anda boleh menyaksikan pelbagai ikan (dan kadang-kadang penyu!) bermain-main di permukaan air dari atas jeti atau platform dari mana-mana resort di sini.

Sebagai nilai tambah, disarankan anda membawa sepotong roti semasa snorkeling dan jangan terkejut apabila sekawan ikan berwarna-warni datang dan makan roti tersebut di atas tangan anda!

Inilah keistimewaan Mabul. Spesis yang pelbagai, resort-resort terapung yang mewah, air yang jernih dan ikan-ikan yang jinak.

Tertelan air semasa snorkeling? Itu perkara biasa untuk permulaan menjelajah dunia di bawah air ciptaan tuhan untuk kita semua!

Selamat menikmati riadah snorkeling, Selamat datang ke Pulau Mabul, Selamat bercuti dan jangan lupa memilih Sipadanborneo.com sebagai operator percutian anda di Pulau Mabul, Sabah, Malaysia!

No comments:

Post a Comment