Pages

2 Dec 2013

Keistimewaan Pulau Mabul


Pulau Mabul terletak di perairan Laut Sulawesi (Celebes Sea) berhampiran dengan sempadan Malaysia-Indonesia. Pulau ini berada dalam daerah Semporna, Sabah dan terletak di dalam kawasan Taman Negara Pulau Sipadan (Pulau Sipadan, Pulau Kapalai dan Pulau Mabul). Sekiranya anda ingin ke Pulau Mabul, anda perlu menaiki bot dan perjalanan akan mengambil masa antara 45minit ke 1 jam bergantung kepada jenis bot yang anda naiki.

Pulau Mabul tidak mempunyai bukit-bukau yang tinggi, sebaliknya pulau yang berukuran 49 ekar ini (20 hektar) berbentuk lonjong dipenuhi dengan pohon-pohon kelapa yang tinggi. Ianya mendatar dan timbul 2-3 meter sahaja pada paras laut. Pulau ini juga dikelilingi dengan 2km persegi terumbu (reef) dan disebabkan bentuk mukabumi inilah menyebabkan ia menjadi syurga kepada para penyelam dunia!

Sinopsis Pulau Mabul.

Sebelum ini, Pulau Mabul hanya dipenuhi dengan kampung-kampung nelayan, rumah-rumah kaum Pala-u (orang nomad laut - sea gypsies) dan pelarian perang Filipina. Majoriti penduduk disini berketurunan Suluk dan Bajau. Disebabkan aktiviti 'bom-ikan' dan pencemaran teruk oleh cyanide & dinamite sejak tahun 70-an, lantai laut Pulau Mabul telah bertukar dengan drastik dan wujudlah pelbagai jenis spesis hidupan ganjil yang mendiami karang-laut mati, sampah-sarap dan dibawah timbunan batu-batu konkrit.

Pada tahun 2005, setelah Pulau Sipadan digazetkan menjadi Taman Negara, maka kesemua bangunan dan resort diarahkan untuk berpindah ke Pulau Mabul oleh pihak berkuasa. Bermula selepas itu, Pulau Mabul menjadi terkenal kerana dua sebab; pertama ia menjadi satu-satunya pulau yang menempatkan lebih 20 resort yang berdekatan dengan Pulau Sipadan dan kedua; kerana haiwan-haiwan ganjil yang berada di bawah permukaan lautnya sehinggakan ia mendapat jolokan 'The Best MUCK-diving Site Of The World'.

Apa Istimewanya Pulau Mabul?

Keistimewaan Pulau Mabul bukanlah terletak kepada permukaannya, tetapi diversiti dan kepelbagaian haiwan marin yang mendiami lantai lautnya. Ianya bukanlah pulau seperti Langkawi, Perhentian, Redang atau Tioman, sebaliknya Pulau Mabul dipenuhi dengan chalet-chalet dan resort di atas permukaan air, seolah-olah terapung kerana dibina diatas terumbu karang (reef) yang mengelilinginya.


Pelancong yang datang ke Pulau Mabul sebenarnya hadir dengan satu tujuan, iaitu menyelam. Sama ada 'Scuba Diving' atau 'Snorkeling' mereka datang dari segenap penjuru dunia disebabkan ingin berenang dan menjelajah dunia di bawah laut yang cantik, berwarna-warni dan mencari spesis-spesis haiwan ganjil yang kadang-kadang kecil dan pandai menyamar. Ya, mereka datang untuk melihat sendiri dunia 'Macro-Marin' yang sangat kaya! Sesetengah penyelam professional memberitahu saya: "Anda tidak perlu lagi untuk menyelam di tempat-tempat lain di dunia untuk mencari spesis-spesis ini kerana di Mabul ada kesemuanya. Malah ada juga haiwan yang hanya kelihatan di pulau ini sahaja!"


Lebih dari itu, ada yang menggelarkan Mabul merupakan 'Yang' kepada Sipadan yang menawarkan 'Yin'. Kedua-dua pulau ini walaupun berdekatan tetapi memiliki haiwan yang sangat berbeza! Jika anda menyelam di Pulau sipadan, anda akan dihidangkan dengan pemandangan haiwan-haiwan 'pelagic' yang bersaiz gergasi, besar dan berkumpulan, manakala haiwan-haiwan di Pulau Mabul lebih kecil, berwarna-warni dan unik.

Haiwan-Haiwan Marin Pulau Mabul.


Penyu 'hawksbill' dan 'Green' merupakan dua spesis yang selalu berenang dipermukaan air dihadapan resort-resort terapung seperti Sipadanborneo.com. Selalunya pelancong boleh menyaksikan penyu-penyu berenang semasa makan malam dihadapan 'deck' atau pelantar resort. Bayangkan anda sedang makan sambil ditemani dengan bayu sejuk yang berhembus segar, tiba-tiba ada yang menjerit 'penyu! penyu!' dan semuanya akan berhenti makan dan berkumpul di hadapan pelantar untuk menyaksikannya.

Ikan-ikan eksotik seperti 'clown-fish', 'lionfish', 'batfish', 'bannerfish', ikan todak, ikan cermin dan belut boleh anda perhatikan dihadapan pelantar resort. Sekawan ikan putih 'jackfish', ikan-ikan bilis dan 'parrot-fish' juga boleh anda perhatikan tanpa perlu berbasah-kuyup untuk berenang.

Namun, tarikan utama penyelam-penyelam dunia datang ke Mabul ialah untuk mellihat sendiri spesis-spesis ini:


Nudibranchs - Ada yang memanggilnya 'lintah laut' dan ada juga menggelarnya 'siput tanpa cengkerang'. Nudi boleh anda saksikan dimana-mana tapak menyelam di seluruh Malaysia, tetapi tidak seperti di Pulau Mabul - banyak, berwarna-warni dan pelbagai jenis! 'Pikachu Nudibranch' merupakan salah-satu nudi yang diburu oleh penyelam-penyelam.


Frogfish - 'Ikan katak' ini sangat pandai menyamar dan lebih suka 'melompat' daripada berenang. Percaya atau tidak, kadangkala frogfish berada betul-betul disebelah telinga anda tanpa anda perasan sedikit pun kehadirannya!


Ghost Pipefish - Ikan yang paling saya suka! Betul-betul pandai menyamar dan memang macam hantu. Ikan ini perlu anda perhatikan di celah-celah karang-laut atau tumbuhan air. Perhatikan kelopak tumbuhan (atau karang) betul-betul dan pastikan ianya bercantum. Jika anda dapati salah-satu kelopak tidak bercantum, maka itu ialah 'Ghost Pipefish'!


Bluering Octopus - Bukan sotong dari cerita 'TRON'! Sotong ini kecil dan corak badannya yang berbentuk bulat-bulat kecil bersinar dan cantik. Selain dari sotong ini, ada dua lagi sotong yang disukai oleh penyelam - 'Mimic Octopus' dan 'Wonderpus'.


Flamboyant Cuttlefish - Ini sotong kecil yang istimewa. Lebih suka 'berjalan' daripada berenang. Apabila ia bergerak, seluruh badannya akan dihiasi dengan warna belang-belang hitam/coklat seperti lampu neon yang beranimasi. Sotong ini akan mengeluarkan tentakelnya yang panjang untuk menangkap mangsa.


Lionfish - Ikan singa ini sangat senang diperhatikan dan selalunya akan bermain-main di hadapan The Mabul Water Bungalow Resort. Ikan ini sangat cantik dan beracun! Kata seorang penyelam "Anda boleh menyaksikan ketiga-tiga spesis ikan ini di Mabul!"


Crocodile Fish - Ikan Buaya yang boleh anda perhatikan di kawasan berpasir. Ia sangat pandai menyamar dan rupanya seakan-akan seekor buaya yang sedang menunggu mangsanya.


Pygmy Seahorse - Kuda Laut memang banyak di Mabul, cuma penyelam-penyelam lebih tertarik kepada si kecil ini yang pandai menyamar dan beradaptasi dengan persekitarannya. Ramai yang mengatakan ia banyak berada di tapak Seaventures, sebuah pelantar minyak yang telah diubah menjadi resort mewah di atas laut!


Banded Boxer Shrimp - Sebenarnya banyak lagi spesis-spesis udang kecil yang berwarna-warni mendiami lantai laut Mabul, tetapi yang ini sangat istimewa. Lagaknya seperti seorang ahli tinju yang sudah bersedia untuk menerima pencabarnya!


Batfish - Ikan ini selalu bergerak dalam kumpulan. Paling senang untuk anda memerhatikannya ialah di tiang-tiang kayu The Mabul Water Bungalow dekat dengan kawasan tukun tiruan. Satu lagi ikan yang popular di kalangan penyelam ialah 'Mandarin Fish' yang selalu keluar pada sebelah petang (maghrib) dan mesti dalam keadaan 'berdua' ibarat pasangan yang sedang bercinta!


Banyak lagi spesis-spesis haiwan marin yang ganjil di Pulau Mabul. Tetapi kalau saya siarkan semuanya nanti dah tiada apa lagi untuk saya coretkan nanti di masa akan datang. Selalu saya perhatikan, perbezaan antara 'orang yang baru belajar menyelam' dan yang sudah 'otai' ialah 'cerita' mereka sewaktu makan malam.

Yang baru belajar menyelam akan bercerita tentang ikan-ikan yang berwarna-warni dan bergerak semacam lalu-lintas di lebuhraya 'PLUS' manakala yang sudah 'pakar' akan bercerita tentang foto-foto spesis istimewa dan ganjil yang mereka jumpai dalam setiap sessi selaman.

Apa pun ceritanya, sebenarnya berbalik kepada anda sendiri. Soalannya hanya satu: 'Bila nak pergi Mabul?' dan jawapannya silalah ke Sipadanborneo.com atau menghubungi saya dengan lebih lanjut tentang pakej percutian anda! 

Kirimkan email kepada adliayob [a] gmail.com atau terus ke facebook.com/adliayob untuk maklumat lebih terperinci tentang percutian anda.

No comments:

Post a Comment